Monday, January 17, 2011

Meningkatkan Kapasiti Kepimpinan Sekolah

Salam hormat. Hampir 3 minggu persekolahan telah berjalan melibatkan perubahan dalam 'redeployment' guru, 'redeployment' staf sokongan dan pertukaran GB dan PK. Bahkan masa pengajaran di kelas KAFA-Yayasan Terengganu turut berubah. Jelas perubahan tersebut adalah untuk meningkatkan kapasiti semua pihak dan pada masa yang sama mengharapkan peningkatan prestasi kerja. Impaknya akan meningkatkan pencapaian pencapaian murid dan sekolah secara keseluruhan.

Pengurusan dan kepimpinan saling berhubungkait diantara satu sama lain.Kepimpinan selalu dikatakan sebagai melakukan sesuatu perkara yang betul, sementara pengurusan disifatkan sebagai melakukan perkara dengan betul. Sebagai GB kita mesti melakukan kedua-duanya. GB mesti menjadi pelajar 'number one', membentuk komuniti pembelajaran profesional di sekolahnya. Ini membolehkan tersebarnya kapasiti kepimpinan di sekolah. GB adalah pengamal kepada pembelajaran sepanjang hayat. Proses sosialisasi untuk menjadi GB yang efektif berhubung rapat dengan penguasaan kemahiran, pengetahuan dan sikap yang sesuai dengan profesion.

Pada hari ini kita menemui sekolah-sekolah yang sentiasa berkembang maju dalam meningkatkan pencapaian akademik, kokurikulum, pengurusan persekitaran dan fizikal mahu pun pembangunan staf. Tetapi pada masa yang sama kita juga berdepan dengan sekolah-sekolah yang hampir tidak berkemampuan untuk maju. Hussein (2008) memetik dari Hopkin menyatakan terdapat 3 kategori sekolah iaitu sekolah-sekolah mundur atau tidak berjaya, sekolah-sekolah yang mencapai prestasi rendah dan sekolah-sekolah yang berjaya atau berkesan. Disinilah timbul bahawa pendekatan khusus diperlukan untuk menambahbaik sekolah-sekolah kategori pertama dan kedua. Pendekatan satu saiz untuk semua tidak sesuai bagi sebuah sekolah yang lain.

GB sebagai pemimpin berpandangan jauh ke hadapan patut berubah dari sistem hiraki tradisional kepada pengurusan kolaboratif dan partisipatif. Selain memastikan sekolah berfungsi dengan cekap dan baik, kepimpinan GB mesti memiliki fungsi dinamisme yang sentiasa berupaya mengadaptasi perkara baru, maklumat baru dan segala apa yang baru untuk terus maju.

No comments:

Post a Comment