Salam bahagia. Minggu ini pihak sekolah telah mengadakan aktiviti larian merentas desa peringkat sekolah. Ia sangat menarik apabila pelbagai kategori murid dari pra-sekolah hingga tahun 6 mengambil bahagian. Istimewanya ada kategori murid obes lelaki dan perempuan. Sebagai penghargaan kepada pemenang larian, hadiah dalam bentuk medal diberikan kepada pemenang pertama, ke-2 dan ke-3. Sementara selebihnya dihadiahkan barangan yang boleh murid gunakan kemudian. Saya berpendapat aktiviti larian sebegini telah menjayakan program sukan untuk semua.
Program kokurikulum peringkat sekolah pada asalnya adalah bersifat untuk melengkapkan pengajaran dan pembelajaran pendidikan jasmani yang melibatkan semua murid. Pada masa yang sama ia diharap membina kecenderungan atau memotivasikan murid mencebur diri dalam aktiviti selepas sekolah. Ia memberi peluang kepada murid mencapai tahap kecergasan, menyediakan ruang untuk pelepasan tekanan dan memenuhi kehendak persaingan.Aktiviti kokur mampu menjadi media sosialisasi dan memupuk semangat berpasukan.
Pada awal tahun ini rakan-rakan GB telah pun dimaklumkan melalui pekeliling ikhtisas dan taklimat mengenai Program Satu Murid Satu Sukan (1M1S) yang mesti dilaksanakan diperingkat sekolah. Pekeliling ikhtisas telah menjelaskan pendekatan yang patut dijalankan. Isu yang kerap ditimbulkan oleh rakan-rakan GB ialah kemampuan guru-guru untuk menjayakannya.
Ada cadangan supaya komuniti luar sekolah turut dipelawa untuk melatih murid-murid dalam permainan atau jenis sukan seni mempertahankan diri. Ini adalah disebabkan keupayaan guru melatih murid dalam permainan sangat terbatas apatah lagi dengan bilangan murid yang ramai dan kawasan yang terhad. Selepas ini kehadiran mereka, penglibatan, pencapaian dan jawatan yang disandang hendak diberi gred (seperti dalam SKPM 2010). Ada rakan GB yang skeptik terhadap keberkesanan pelaksanaan program 1M1S. Jika ada pun mungkin tidak memenuhi syarat yang dinyatakan dalam SKPM 2010.
Walau apa pun pendekatan yang diambil oleh pihak sekolah, kejayaan pengurusan bidang kokurikulum boleh diukur dengan jelas berdasarkan instrumen SKPM 2010 dan sasaran yang ditetapkan dalam perancangan strategik sekolah. Jika kepimpinan sekolah berupaya merancang, melaksana dan menilai aktiviti yang telah berlangsung dan sedang berjalan maka tidak ada sebab program sukan untuk semua seperti program 1M1S terhalang pelaksanaannya.
No comments:
Post a Comment