Monday, February 7, 2011

GB Cemerlang; Kejayaan Kerjaya atau Impian Belum Tercapai

Salam hormat. Tahniah kepada rakan-rakan GB yang dijemput ke taklimat pencalonan GB Cemerlang dan yang belum terima bersabarlah kerana masa akan tiba untuk anda. Saya faham bahawa kenaikan pangkat tersebut adalah kejayaan dalam kerjaya GB berkenaan. Pada masa yang sama mereka juga menerima tanggungjawab yang lebih besar sebagai GB gred 38.

Ingatlah bahawa GB sebagai pemimpin sekolah akan terus berdepan dengan cabaran, ketidaktentuan dan 'ambiguity' dalam meningkatkan prestasi sekolah. Perkembangan pendidikan semasa memerlukan semua GB sentiasa peka hal-hal semasa seperti NKRA-SIP, SKPM 2010, 'New Deals', KSSR dll.

Kejayaan melaksanakan tanggungjawab sebagai GB cemerlang memerlukan komitmen tinggi, disamping terus mengekal kejayaan sekolah dalam pelbagai bidang. Adalah sesuatu yang memalukan apabila selepas menerima kenaikan pangkat tersebut situasi sekolah kekal 'stagnant' seperti sebelumnya.

Keadaan sedemikian boleh berlaku bila gaya dan kaedah tradisional tidak lagi mampu atau diterima untuk menangani cabaran sekarang dan masa depan. Perubahan yang pesat menuntut kita sebagai GB mempelajari ketrampilan baru, membangunkan sikap baru dan menghindari kemerosotan peribadi.

Kebanyakan GB yang pintar mempunyai pandangan tentang keperluan perkembangan dirinya. Ia akan berusaha meningkatkan pertanggungjawaban (akauntabiliti) diri tahap demi tahap, memilih keinginan positif, menggunakan tenaga dengan wajar dan secara kreatif boleh menyesuaikan diri.

Saya percaya GB Cemerlang mesti sentiasa mengusahakan pengetahuannya dengan belajar mengambil tanggungjawab yang lebih besar bagi diri mereka sendiri, kerjaya dan potensi mereka. Bila hal-hal berkaitan dengan ketrampilan dan kemampuan tidak dimiliki oleh GB wujudlah halangan atau hambatan untuk menjadi GB yang cemerlang.

Sebagai GB saya berpendapat bahawa kejayaan naik pangkat turut diikuti dengan peningkatkan prestasi kerja dan menjadikan kita lebih ketrampilan dalam pengurusan sekolah. Jika belum tercapai maka perlu menjauhi sikap jelik. Berjuang bukan hanya untuk bertahan hidup malah berkembang menembus masa-masa sulit dengan menjadi semakin kuat dan mapan.

Friday, February 4, 2011

Kokurikulum: Menjayakan Sukan Untuk Semua

Salam bahagia. Minggu ini pihak sekolah telah mengadakan aktiviti larian merentas desa peringkat sekolah. Ia sangat menarik apabila pelbagai kategori murid dari pra-sekolah hingga tahun 6 mengambil bahagian. Istimewanya ada kategori murid obes lelaki dan perempuan. Sebagai penghargaan kepada pemenang larian, hadiah dalam bentuk medal diberikan kepada pemenang pertama, ke-2 dan ke-3. Sementara selebihnya dihadiahkan barangan yang boleh murid gunakan kemudian. Saya berpendapat aktiviti larian sebegini telah menjayakan program sukan untuk semua.

Program kokurikulum peringkat sekolah pada asalnya adalah bersifat untuk melengkapkan pengajaran dan pembelajaran pendidikan jasmani yang melibatkan semua murid. Pada masa yang sama ia diharap membina kecenderungan atau memotivasikan murid mencebur diri dalam aktiviti selepas sekolah. Ia memberi peluang kepada murid mencapai tahap kecergasan, menyediakan ruang untuk pelepasan tekanan dan memenuhi kehendak persaingan.Aktiviti kokur mampu menjadi media sosialisasi dan memupuk semangat berpasukan.

Pada awal tahun ini rakan-rakan GB telah pun dimaklumkan melalui pekeliling ikhtisas dan taklimat mengenai Program Satu Murid Satu Sukan (1M1S) yang mesti dilaksanakan diperingkat sekolah. Pekeliling ikhtisas telah menjelaskan pendekatan yang patut dijalankan. Isu yang kerap ditimbulkan oleh rakan-rakan GB ialah kemampuan guru-guru untuk menjayakannya.

Ada cadangan supaya komuniti luar sekolah turut dipelawa untuk melatih murid-murid dalam permainan atau jenis sukan seni mempertahankan diri. Ini adalah disebabkan keupayaan guru melatih murid dalam permainan sangat terbatas apatah lagi dengan bilangan murid yang ramai dan kawasan yang terhad. Selepas ini kehadiran mereka, penglibatan, pencapaian dan jawatan yang disandang hendak diberi gred (seperti dalam SKPM 2010). Ada rakan GB yang skeptik terhadap keberkesanan pelaksanaan program 1M1S. Jika ada pun mungkin tidak memenuhi syarat yang dinyatakan dalam SKPM 2010.

Walau apa pun pendekatan yang diambil oleh pihak sekolah, kejayaan pengurusan bidang kokurikulum boleh diukur dengan jelas berdasarkan instrumen SKPM 2010 dan sasaran yang ditetapkan dalam perancangan strategik sekolah. Jika kepimpinan sekolah berupaya merancang, melaksana dan menilai aktiviti yang telah berlangsung dan sedang berjalan maka tidak ada sebab program sukan untuk semua seperti program 1M1S terhalang pelaksanaannya.

Saturday, January 29, 2011

Re-deployment untuk transformasi 'Learning, Thinking & Creating Organisation?

Salam bahagia. Isu 're-deployment' atau bertukar tempat bertugas menjadi menarik apabila pertukaran dan penempatan GB tidak lagi bersifat 'back to back' (maksudnya yang mana kosong, di situlah di isi) kerana ia melibatkan rombakan penempatan sedia ada. Saya ucapkan syabaslah atas usaha 'stake-holder' negeri yang kelihatan bersungguh-bersungguh menyusun semula GB di sekolah 'baru' untuk mereka. Mereka nampaknya turut membantu untuk menjayakan transformasi pengurusan sekolah.

Kita boleh sama-sama meninjau dari luar status pencapaian sekolah-sekolah kampung kita dari segi akademik, kokurikulum, persekitaran fizikal atau 'niche area' (kebitaraan) sekolah (bukan untuk sekolah kluster kecemerlangan sahaja). Saya berpendapat sekolah-sekolah yang pencapaian di tahap 'mediocre' patut dibantu proses transformasi pencapaiannya. GB mesti memahami bahawa harapan tinggi ibubapa dan 'stake-holder' mesti dipenuhi. Pengurusan sekolah mesti bersifat 'development governance' dan 'achievement oriented' bukan bersifat 'administrative oriented' semata-mata. Barangkali hal sebegini telah diambil kira bila beberapa rakan GB disusun semula penempatan mereka.

Transfomasi sekolah boleh berlaku dengan cepat bila langkah-langkah yang ambil oleh GB dapat mencipta, membina dan mengembangkan 'pembelajaran, pemikiran dan penciptaan baru organisasi sekolah' (learning, thinking and creating organisation). Caldwell (2003) menyebut transfomasi bermaksud perubahan yang membawa kesan signifikan, sistematik dan lestari (sustained). Transformasi menjadikan sekolah masa hadapan berbeza dengan sekarang dan turut merubah profesion pengajaran.

Di sinilah tittik permulaan yang hendak dibuat oleh GB sendiri iaitu untuk belajar semula (re-learn) dan berfikir untuk bertindak secara berfokus. Lihatlah di sini, di sana dan masa depan. Kaji kejayaan lampau orang lain serta melihat dan menyaksikan amalan terbaik semasa. Saya percaya kejayaan 'learning, thinking & creating organisation' tidak dapat dicapai melalui angan-angan dengan hanya menggosok lampu Aladdin.

Monday, January 17, 2011

Meningkatkan Kapasiti Kepimpinan Sekolah

Salam hormat. Hampir 3 minggu persekolahan telah berjalan melibatkan perubahan dalam 'redeployment' guru, 'redeployment' staf sokongan dan pertukaran GB dan PK. Bahkan masa pengajaran di kelas KAFA-Yayasan Terengganu turut berubah. Jelas perubahan tersebut adalah untuk meningkatkan kapasiti semua pihak dan pada masa yang sama mengharapkan peningkatan prestasi kerja. Impaknya akan meningkatkan pencapaian pencapaian murid dan sekolah secara keseluruhan.

Pengurusan dan kepimpinan saling berhubungkait diantara satu sama lain.Kepimpinan selalu dikatakan sebagai melakukan sesuatu perkara yang betul, sementara pengurusan disifatkan sebagai melakukan perkara dengan betul. Sebagai GB kita mesti melakukan kedua-duanya. GB mesti menjadi pelajar 'number one', membentuk komuniti pembelajaran profesional di sekolahnya. Ini membolehkan tersebarnya kapasiti kepimpinan di sekolah. GB adalah pengamal kepada pembelajaran sepanjang hayat. Proses sosialisasi untuk menjadi GB yang efektif berhubung rapat dengan penguasaan kemahiran, pengetahuan dan sikap yang sesuai dengan profesion.

Pada hari ini kita menemui sekolah-sekolah yang sentiasa berkembang maju dalam meningkatkan pencapaian akademik, kokurikulum, pengurusan persekitaran dan fizikal mahu pun pembangunan staf. Tetapi pada masa yang sama kita juga berdepan dengan sekolah-sekolah yang hampir tidak berkemampuan untuk maju. Hussein (2008) memetik dari Hopkin menyatakan terdapat 3 kategori sekolah iaitu sekolah-sekolah mundur atau tidak berjaya, sekolah-sekolah yang mencapai prestasi rendah dan sekolah-sekolah yang berjaya atau berkesan. Disinilah timbul bahawa pendekatan khusus diperlukan untuk menambahbaik sekolah-sekolah kategori pertama dan kedua. Pendekatan satu saiz untuk semua tidak sesuai bagi sebuah sekolah yang lain.

GB sebagai pemimpin berpandangan jauh ke hadapan patut berubah dari sistem hiraki tradisional kepada pengurusan kolaboratif dan partisipatif. Selain memastikan sekolah berfungsi dengan cekap dan baik, kepimpinan GB mesti memiliki fungsi dinamisme yang sentiasa berupaya mengadaptasi perkara baru, maklumat baru dan segala apa yang baru untuk terus maju.

Thursday, January 6, 2011

Re-deploymen guru; Satu isu atau masalah yang diada-adakan?

Salam hormat. Sepanjang minggu pertama persekolahan saya menerima beberapa pertanyaan mengenai sekolah-sekolah yang mengalami kekurangan guru dan lebihan guru dibeberapa buah sekolah. Masalah redeployment atau bahasa mudahnya ialah pertukaran guru menjadi kalut bila pertukaran tidak dibuat atas keperluan perkhidmatan. Ia dibuat kerana guru-guru tersebut telah lama berkhidmat disesebuah sekolah. Apakah salah dan dosa guru-guru tersebut ditukarkan walhal perkhidmatannya masih diperlukan di sekolah berkenaan? Bahkan GB sekolah terbabit pun masih memerlukan khidmat guru-guru tersebut.

Saya merasa terpanggil untuk bertanya adakah pertukaran arahan 'stake-holder' Putrajaya wajar dilaksanakan demi perkhidmatan pendidikan Terengganu? Atau tanpa berfikir panjang dan perbincangan maka 'stake-holder' di negeri dan daerah terus melenting, membuka silat melakukan pertukaran untuk memenuhi arahan semata-semata?

Kekacauan dalam perkhidmatan di sekolah terus timbul akibat opsyen yang tidak cukup, yang dikeluarkan lain opsyennya, yang datang pula berbeza opsyen. Belum lagi kekurangan dalam opsyen mata pelajaran tertentu. Saya bimbang kesan berganda akan timbul bila proses P & P yang sepatutnya berjalan lancar tetapi tersangkut akibat percaturan penempatan guru yang tidak kena.

Marilah bersama-sama merenung kembali yang mana pengalaman kita bertahun-tahun sebagai GB, perkara begini tidak pernah atau jarang-jarang berlaku. Kita GB pun tidak dimaklum berapa ramai gurunya yang kena tukar. Sekurang-kurangnya GB patutlah tahu yang mana patut dicadangkan bertukar. Nampak gayanya 're-deployment' sudah jadi masalah dan bukan isu lagi!

Monday, January 3, 2011

Transformasi Kepimpinan Sekolah

Salam bahagia. Selamat kembali ke sekolah untuk semua warga sekolah. Sempena tahun baru keazaman dan semangat bekerja baru yang membara membolehkan transformasi kepimpinan sekolah berlaku pada tahun 2011. Tiga pertanyaan yang harus diingat semula untuk setiap orang GB ialah; 1. 'Why are we doing what are we doing? 2. What are we doing 3. Can it be done in a better way?'

Kita pun selalu diingatkan apabila hendak memulakan perubahan, maka mulakan dengan anjakan paradigma, teori-teori mengurus perubahan, model-model transformasi  organisasi dan akhirnya amalkan atau praktik apa yang dipelajari di sekolah sendiri. Inilah dikatakan 'intelectual understanding' bidang kerja yang patut menjadi pegangan pemimpin sekolah yang boleh didapati dari pembacaan meluas atau menghadiri seminar, diskusi atau persidangan kepimpinan dan pengurusan organisasi.

Sebagai GB adalah wajar berupaya untuk menjalankan kajian terhadap organisasi sendiri. Amalan sebegini selalu dipraktik oleh organisasi firma yang menjalankan 'action research' atau kajian tindakan. Kekurangan amalan 'action research' dikalangan pengurus atau pemimpin sekolah adalah satu kelemahan yang nyata. GB mesti berupaya membangun kualiti profesional dan pembelajaran yang mana secara tidak langsung akan meningkatkan kompetensi staf.

Program perkembangan staf yang berterusan mampu meningkatkan kualiti pengajaran. Kebiasaannya perkembangan profesional guru merangkumi bidang penyelidikan (contohnya menulis kajian tindakan), maklumat dari luar (hadir kursus luar sekolah), pengetahuan guru sendiri (pengalaman mengajar, sebagai pemeriksa LPM dll) dan pengetahuan yang dibina bersama rakan-rakan guru (perkongsian ilmu dan pengalaman).

Program perkembangan staf boleh bermula seawal Januari. Tetapi mesti ingat bahawa transformasi kepimpinan yang hendak dibawa oleh pemimpin sekolah bukan 'linear' dan bukan mekanistik. Ia kompleks dan perlu diurus dengan sebaik-baiknya. Doll (1986) menyebut 'To stimulate productivity, the school leader evidently needs to do such things as make his or her viewpoints clear, help try out new ideas, conscientiously criticize poor work, maintain standards of performance, develop staff role assignments, emphasize the meaning of headline, and try to make certain that staff members are working to capacity'

Sebagai pemimpin yang reflektif, prihatin dan berprinsip GB perlu memberi perhatian kepada aspek kemanusiaan, mampu membentuk 'follower' dari kalangan guru dan murid. GB mesti mengenepikan kedudukan sahnya untuk turun padang bersama para guru dan murid menjadikan dirinya 'hamba' bagi memenuhi keperluan mereka. Semoga rakan-rakan GB  dapat merubah cara pemikiran orang yang dipimpin. Transformasi hanya berlaku bila warga sekolah bekerja berlandaskan komitmen, etika dan moral yang tinggi.