Salam bahagia. Perancangan strategik sekolah tahun 2011 sudah disiapkan. Satu isu ditimbulkan rakan saya mengenai nilai atau 'value'. Katanya perancangan yang baik tidak mampu dilaksanakan jika ahli-ahli dalam organisasi sekolah tidak berkongsi dan memiliki nilai yang sama. Memang tepat sekali pandangan tersebut, selain berkongsi misi dan visi mesti ada nilai yang dikongsi bersama.
Misi dan visi yang berkesan dibina atas asas nilai-nilai yang betul. Nilai menjadi penghubung diantara misi dan visi organisasi. Mari kita tanya diri kita, apakah nilai saya sebagai pemimpin sekolah? Apakah nilai-nilai yang sedia ada dan terbina di sekolah kita? Apakah nilai-nilai yang menjadi anutan guru-guru dan staf sokongan di sekolah kita?
Secara ringkas nilai boleh takrifkan sebagai kepercayaan yang mendorong sesorang atau organisasi bertindak. Ia semacam prinsip atau tatacara seseorang atau organisasi bertindak. Ia ditunjukkan melalui tingkahlaku ahli-ahli organisai bekerja atau bertindak. Tetapi harus diingat supaya nilai tidak dikelirukan dengan amalan (practices) atau cara bekerja. Ini adalah kerana cara bekerja atau proses kerja boleh berubah mengikut masa. Sementara nilai-nilai akan terus kekal dengan syarat terus diperkukuhkan dan diurus dengan bijaksana.
Adakah etika itu nilai? Saya berpandangan bahawa etika adalah sebahagian dari sistem nilai. JPA pun telah memberi panduan yang jelas mengenai etika dan nilai perkhidmatan awam. 11 nilai murni perkhidmatan awam mesti menjadi anutan dan amalan semua warga sekolah dalam menjayakan misi dan visi sekolah. Nilai-nilai yang dimaksudkan ialah amanah, bertanggungjawab, ikhlas, dedikasi, sederhana, tekun, bersih, berdisiplin, bekerjasama, berbudi mulia dan bersyukur. Nilai-nilai yang dipegang sudah pastinya nilai-nilai yang menyokong objektif, matlamat, visi dan misi organisasi!
Akhirnya marilah kita lihat bersama adakah organisasi kita mengalami atau berdepan dengan konflik nilai? Jika wujud nilai-nilai yang bertentangan dengan ahli-ahli dalam organisasi maka pelaksanaan tindakan dalam perancangan strategik menjadi lebih sukar dan akan berdepan dengan kegagalan. Pada masa yang sama marilah melihat kepada diri kita sendiri dan bertanya 'How do I perform?' dan 'How di I learn?'
No comments:
Post a Comment