Salam hormat. Selamat menyambut tahun baru 2011. Persediaan untuk persekolahan hari pertama telah tersusun rapi. Selain mesyuarat guru, mesyuarat JK utama seperti kurikulum, kokurikulum dan HEM telah selesai. Kepimpinan sekolah sepatutnya telah ambil kira elemen-elemen baru yang akan dilaksanakan pada tahun 2011. Elemen baru tersebut termasuk penggunaan SKPM versi 2011, pelaksanaan KAFA (dibawah Yayasan Islam Terengganu) yang mengguna masa 15 jam seminggu (3 jam sehari selama 5 hari), KSSR yang bermula ditahun 1 (melibatkan perubahan minit waktu mengajar mata pelajaran tertentu), program LINUS yang telah berada di tahun 2 (adakah linus mencapai target?).
Saya berpendapat bahawa sekolah mesti kembali kepada asas iaitu menjamin perkembangan intelektual dan sahsiah pelajar serta menyediakan peluang pendidikan untuk semua pelajar. Ini bermakna kecemerlangan sekolah adalah sekolah yang dapat memberi pendidikan kepada semua pelajar, tiada keciciran, tiada yang tidak menguasai LINUS, tiada pengaliran bercorak diskriminatif dan semua pelajar mendapat layanan yang adil dari guru dan sekolah
Kepada rakan-rakan GB marilah bersama melakukan transformasi sekolah berfokus kepada peningkatan pencapaian pelajar dalam semua bidang (bukan akademik semata) dan membangunkan kapasiti sekolah untuk perubahan secara berterusan. Proses untuk penambahbaikan sekolah akan mengambil masa diantara 3-5 tahun. Itulah sebabnya perancangan strategik sekolah dirangka seperti jangka masa tersebut. Fokus GB adalah berusaha menyelesaikan masalah sebenar yang menyebabkan sesuatu gejala masalah timbul bukan hanya menghapuskan gejala itu sahaja.
GB bersama warga guru mesti melihat semua data-data yang ada di sekolah seperti keputusan ujian OTI, UPSR, pencapaian kokurikulum, kehadiran harian pelajar, bilangan kes disiplin dll untuk dijadikan maklumat sebelum merancang perubahan untuk 2011. Kajian terhadap maklumat tersebut membolehkan pihak sekolah menambahbaik program seterusnya menambahbaik sekolah secara keseluruhan. Atau adakah kita GB hendak menunggu pihak luar (biasanya 'stake-holder' pendidikan) mengarah untuk melakukan penambahbaikan atau pihak GB sendiri yang mengusahakannya untuk penambahbaikan?
No comments:
Post a Comment